KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama MANAR dan SHURA mendesak kerajaan Jordan mengambil tindakan diplomatik segera bagi menuntut penarikan larangan terhadap khatib Masjid al-Aqsa, Syeikh Ikrimah Sabri, daripada memasuki masjid suci itu.
Desakan itu dibuat susulan keputusan pihak berkuasa Israel melanjutkan sekatan terhadap tokoh agama Palestin berkenaan selama enam bulan lagi sehingga 19 April 2027.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan serius berkaitan kebebasan beragama, hak penduduk Palestin di wilayah yang diduduki serta pemeliharaan status sejarah dan undang-undang Masjid al-Aqsa.
Menurutnya, sekatan berulang terhadap tokoh agama Palestin tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana ia turut membabitkan hak untuk beribadah dan melaksanakan tanggungjawab keagamaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Jordan, khususnya Raja Abdullah II dan Kementerian Luar Negeri negara itu, mengemukakan bantahan rasmi kepada Israel serta menuntut pembatalan segera larangan berkenaan.
Katanya, Jordan mempunyai peranan khusus melalui naungan Hashemite terhadap tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis, selain bidang kuasa pentadbiran Wakaf Islam Jordan terhadap kompleks Masjid al-Aqsa.
“Naungan terhadap tempat suci memerlukan usaha diplomatik yang berkesan untuk mempertahankan kedudukan masjid, melindungi akses umat Islam dan menentang tindakan yang boleh mengubah status sejarah serta undang-undang tapak suci tersebut,” katanya dalam kenyataan bersama pada Sabtu.
MAPIM, MANAR dan SHURA turut mengemukakan lima tuntutan utama, termasuk mengaktifkan peranan naungan Hashemite, menggerakkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa.
Selain itu, ketiga-tiga organisasi berkenaan menyeru kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri supaya menyatakan pendirian diplomatik yang tegas dan menyokong usaha Jordan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta kedudukan Masjid al-Aqsa.
Mereka turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan meneliti sekatan terhadap tokoh agama Palestin serta tindakan yang menjejaskan akses ke tempat suci berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sebarang penilaian undang-undang perlu mengambil kira fakta kes, asas sekatan dan kewajipan undang-undang antarabangsa yang terpakai kepada kuasa pendudukan.
Dalam pada itu, ketiga-tiga organisasi menegaskan Masjid al-Aqsa mempunyai kedudukan penting dalam hak beragama umat Islam dan hak rakyat Palestin terhadap Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Mereka berpandangan isu berkenaan memerlukan kesatuan pendirian negara Arab dan Islam serta tindakan diplomatik yang mempunyai hasil jelas, bukannya sekadar kenyataan bantahan.
“Masjid al-Aqsa mesti dipertahankan. Hak beribadah mesti dihormati. Jordan mesti memainkan peranannya dengan tegas,” menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan berkenaan turut ditandatangani Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan Al Aqsa (MANAR), Datuk Seri Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Dato Wira (Dr.) Syekh Abdul Ghani Samsudin. – DETIK MALAYSIA
