GERIK – UMNO Bahagian Gerik komited memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi bagi memastikan bantuan dan kebajikan rakyat terutama golongan susah terus diberi perhatian.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara resolusi penting hasil Pemukiman UMNO Bahagian Gerik di Pusat ILMU Janda Baik ialah menggerakkan semula seluruh 59 cawangan parti di bawah kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Temenggor dan Pengkalan Hulu.
Menurutnya yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), pengukuhan jentera melibatkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO itu bertujuan memastikan usaha membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Tidak sepatutnya ada pelajar miskin mahupun yatim piatu yang tercicir daripada mendapat bantuan untuk meneruskan pengajian. Maklumat seperti ini boleh disalurkan melalui cawangan-cawangan UMNO di setiap kampung dan taman di Parlimen Gerik untuk disampaikan kepada pihak berwajib termasuk MARA,” katanya.
Dr. Asyraf yang dilantik sebagai ‘Bapa Angkat UMNO Bahagian Gerik’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan terus berusaha memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak di daerah itu tidak diabaikan.
Beliau berkata, resolusi tersebut merupakan hasil perbincangan tiga hari dua malam sempena Pemukiman UMNO Bahagian Gerik yang berakhir petang semalam. - DETIK MALAYSIA