KUALA LUMPUR – Kejohanan bola sepak Piala Asia 2027 di Arab Saudi ditunda hampir setahun dan kini dijadualkan berlangsung dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan perubahan tarikh kejohanan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027.
Menurut AFC, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Penganjur Piala Asia selepas mengadakan perbincangan rapat dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) serta Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF).
Tarikh baharu kejohanan itu seterusnya akan dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan kelulusan.
AFC menjelaskan, penangguhan berkenaan dibuat susulan keadaan luar biasa akibat perkembangan di rantau berkenaan, termasuk kerumitan logistik dan gangguan perjalanan yang ketara.
Katanya, keputusan itu dibuat demi kepentingan semua pasukan bertanding, pegawai, penonton serta pihak berkepentingan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia tidak akan beraksi pada kejohanan edisi ke-19 itu selepas AFC sebelum ini membatalkan kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam dan Nepal dalam kempen kelayakan Kumpulan F.
Keputusan berkenaan menyaksikan Malaysia diberikan kekalahan 0-3 bagi kedua-dua perlawanan susulan isu menurunkan pemain tidak layak, sekali gus menyaksikan Vietnam mara ke pusingan akhir.
Sementara itu, Singapura yang mencipta sejarah dengan layak buat kali pertama ke kejohanan berkenaan perlu menunggu lebih lama sebelum memulakan aksi Kumpulan D menentang Australia, Iraq dan Tajikistan.
AFC turut memuji komitmen SAFF dan LOC serta akan terus bekerjasama dengan persatuan bola sepak negara bertanding, penaja, penyiar dan rakan komersial bagi meminimumkan kesan penangguhan tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
