KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan tegas apabila memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan selepas didapati melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
Keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang dipercayai melanggar tatakelakuan serta peraturan parti.
Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula dikenakan tindakan gantung keahlian selama satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan rasmi, sesi pendengaran kes telah dijalankan pada 8 Oktober lalu, dengan keputusan dibuat selepas siasatan menyeluruh berpandukan Fasal 9.1.4 serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.
“Lembaga Disiplin membuat keputusan secara bebas, telus dan adil tanpa sebarang campur tangan luar,” kata kenyataan itu hari ini.
Lembaga Disiplin turut memaklumkan bahawa mereka yang dikenakan tindakan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.
“Lembaga Disiplin menyeru semua ahli agar sentiasa mematuhi perlembagaan dan kod etika parti bagi menjaga integriti serta nama baik BERSATU,” katanya. -DETIK MALAYSIA