KUALA LUMPUR – Penyokong kelab bola sepak Colombia, America de Cali, meluahkan rasa terima kasih yang tidak dijangka kepada pasukan kebangsaan Malaysia selepas kelab kesayangan mereka kerap meraih kemenangan tanpa kehadiran penyerang import, Rodrigo Holgado.
Holgado merupakan antara tujuh pemain warisan atau naturalisasi Malaysia yang digantung FIFA selama setahun berikutan isu pemalsuan dokumen. Enam lagi pemain terbabit ialah Facundo Garces, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Ketika peminat kelab lain seperti Deportivo Alaves dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedih dengan hukuman berkenaan, penyokong America de Cali sebaliknya menyambut berita itu dengan gembira.
Menurut laporan, sebahagian penyokong kelab berkenaan menzahirkan rasa syukur di media sosial selepas pasukan mereka mencatat rentetan kemenangan sejak Holgado digantung.
“Semakin hebat pasukan kebangsaan Malaysia, terima kasih untuk semuanya, Malaysia,” tulis salah seorang penyokong selepas America de Cali menewaskan Junior dalam saingan liga Colombia pada 25 Oktober lalu.
Rekod pasukan itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sejak Holgado tidak diturunkan.
Sebelum digantung, penyerang berusia 30 tahun itu dikritik hebat kerana gagal menjaringkan gol selama hampir empat bulan, dengan jaringan terakhir dicatat ketika menentang Deportivo Cali pada 28 April lalu.
Seorang lagi penyokong turut menulis sindiran pedas terhadap pemain itu.
“FIFA melakukan apa yang kelab tidak berani lakukan menyingkirkan masalah dari America de Cali. Terima kasih, FIFA,” katanya. - DETIK MALAYSIA