KUALA LUMPUR – Pemimpin ASEAN yang bersidang minggu ini agar tidak sekadar mengeluarkan kenyataan kebimbangan, sebaliknya mengambil langkah konkrit dan berkesan untuk menghentikan kekejaman serta penjajahan berterusan rejim Zionis di Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ASEAN mesti menunjukkan pendirian tegas terhadap isu kemanusiaan tersebut dan membuktikan bahawa ia bukan hanya sekadar blok ekonomi, tetapi juga gabungan yang mempertahankan maruah dan hak asasi manusia.
“Legitimasi dalam hal ehwal global bermula dengan ketegasan moral. Jika ASEAN mahu dihormati, kata-kata mesti disusuli tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara tindakan segera yang perlu diambil ialah menggubal pendiran bersama ASEAN yang menyebut secara jelas tentang penjajahan Israel, menuntut gencatan senjata kekal, dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“ASEAN harus menuntut tiga komitmen: pemulihan dana kemanusiaan, sokongan terhadap gencatan senjata yang dipantau, dan penghentian penghantaran senjata yang digunakan terhadap orang awam,” katanya.
MAPIM turut menyeru negara-negara ASEAN menggunakan kuasa undang-undang antarabangsa bagi mendakwa individu yang terlibat dalam jenayah perang serta menolak kemasukan mereka ke rantau ini.
“Nyawa rakyat Palestin bukan bahan tawar-menawar politik. Kredibiliti ASEAN akan diukur berdasarkan tindakan yang diambil dalam tempoh 30 hingga 90 hari akan datang,” tegasnya. - DETIK MALAYSIA