KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang kembali melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza sebaik sahaja semua tebusan Israel yang masih hidup dibebaskan dan dihantar pulang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu sekali gus membongkar penipuan serta hipokrasi rejim Zionis terhadap komitmen gencatan senjata yang kononnya diperjuangkan sebelum ini.
Katanya, arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melancarkan ‘serangan besar-besaran’ ke seluruh Gaza selepas mengesahkan kepulangan semua tebusan jelas bukan dasar keselamatan, sebaliknya merupakan tindakan balas dendam dan hukuman kolektif yang disifatkan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
“Pengeboman ke atas kawasan padat penduduk atas alasan mempertahankan diri selepas rundingan tebusan berakhir membuktikan perang Israel bukan berkaitan tebusan, tetapi keinginan untuk memusnah dan menakluk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Mapim menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik naratif palsu ‘keprihatinan seimbang’ terhadap konflik tersebut memandangkan fakta sudah jelas menunjukkan kezaliman Israel.
“Semua tebusan yang masih hidup telah dibebaskan dan dikembalikan, namun Israel terus mengebom orang awam, memusnahkan hospital serta tempat perlindungan, dan menyasarkan konvoi kemanusiaan. Ini bukti jelas kempen ketenteraan mereka bermotifkan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Mohd Azmi berkata, perkembangan terbaharu itu membuktikan Israel tidak pernah mencari kedamaian, sebaliknya hanya mahu mengekalkan kuasa dan pemusnahan rakyat Palestin.
“Dunia mesti bertindak tegas menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan sebelum sejarah sekali lagi mencatat kegagalan moral umat manusia,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA