KUALA TERENGGANU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) mengambil langkah proaktif memperkasa pembangunan belia setempat menerusi penganjuran program Youth Hub peringkat negeri (Y-Hub Terengganu) yang berlangsung sepanjang November ini.
Pengarah JBSNT, Asmadi Mohamad berkata, penganjuran itu berteraskan lima kerangka utama merangkumi keusahawanan, teknologi kecerdasan buatan (AI), kemahiran TVET, kebudayaan serta pembangunan sahsiah dan motivasi.
Menurutnya, pengisian program itu dirangka bagi merapatkan jurang penglibatan belia di negeri ini, selain menarik penyertaan lebih ramai golongan muda memandangkan semua aktiviti ditawarkan secara percuma.

“Kami tidak melihat program ini sekadar mengisi masa lapang tetapi sebagai tanggungjawab untuk memperkukuhkan Indeks Belia Malaysia (IBM) yang ketika ini masih berada pada tahap sederhana.
“Pelbagai faktor semasa dan persekitaran mempengaruhi keadaan tersebut, justeru setiap program perlu diperhebat bagi melahirkan generasi belia yang lebih berkualiti,” katanya.

Asmadi berkata, IBM bagi tahun 2023 mencatatkan 74.39 mata, iaitu pada tahap sederhana, manakala laporan bagi tahun 2024 dijangka diumum dalam masa terdekat.
Indeks tersebut dibangunkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia sebagai penanda aras untuk memantau kualiti dan kesejahteraan hidup belia di negara ini.

Jelas beliau, melalui penganjuran Y-Hub Terengganu, pihaknya optimis mampu memberi impak positif terhadap penilaian itu.
“Program ini juga selari dengan dasar pintu terbuka JBSNT untuk membolehkan golongan belia memanfaatkan sepenuhnya fasiliti serta kemudahan yang disediakan,” katanya.

Setakat ini, Y-Hub Terengganu yang bermula awal November telah berjaya menarik 787 penyertaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang cuti sekolah hujung tahun. – DETIK MALAYSIA