PUTRAJAYA – Masyarakat digesa menghentikan sikap meminggirkan bekas penagih dadah yang telah melalui proses rawatan dan pemulihan, sebaliknya memberi peluang kedua agar mereka mampu kembali membina kehidupan baharu.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, penerimaan masyarakat dan keluarga menjadi faktor utama menentukan sama ada golongan itu mampu kekal bebas dadah.
“AADK mengambil masa dua tahun merawat mereka, namun apabila mereka pulang, masyarakat perlu menerima mereka. Stigma perlu dibuang.
“Jika masyarakat menolak, risiko untuk mereka kembali menagih sangat tinggi kerana mereka hilang harapan di luar,” katanya pada Program Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK Bersama Media 2025, malam tadi.
Menurut Ruslin, sepanjang tempoh rawatan di Pusat Penagihan Narkotik (Puspen), klien diberi pelbagai kemahiran vokasional selaras keperluan industri termasuk kimpalan, menjahit, membuat kek dan kuih, pertanian serta latihan memasak.
“Mereka juga mengikuti kelas kerohanian dan keagamaan. Ramai antara mereka layak bekerja apabila keluar. Kita turut bekerjasama dengan beberapa syarikat luar yang menawarkan taklimat dan peluang pekerjaan.
“Data menunjukkan mereka yang mendapat pekerjaan selepas keluar mempunyai kadar relapse jauh lebih rendah,” katanya.
Jelasnya, pemilihan latihan di Puspen dibuat berdasarkan minat klien dan tidak dipaksa memilih satu bidang sahaja.
AADK kini menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan bagi menyediakan ruang pekerjaan kepada 'graduan' Puspen yang sudah pulih sepenuhnya dan hanya memerlukan sokongan masyarakat untuk kembali berdikari.
“Mereka telah berubah dan bersedia menyertai masyarakat. Yang mereka perlukan hanyalah penerimaan,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia