SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi amaran terhadap bahaya politik kebencian, ekstremisme identiti dan ideologi supremasi yang berpotensi menggugat keharmonian negara, bersempena peringatan pembunuhan Mahatma Gandhi pada 30 Januari 1948.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata peristiwa assasinasi tokoh keamanan dunia itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya menjadi peringatan jelas tentang kesan buruk propaganda kebencian yang dinormalisasikan dalam politik.
Menurut beliau, Gandhi dibunuh kerana mempertahankan prinsip keadilan, keamanan serta kewarganegaraan yang setara, namun dibunuh dalam suasana kebencian yang dipupuk melalui hasutan, manipulasi emosi dan pemujaan identiti eksklusif.
“Pola sama kini dapat dilihat dalam bentuk baharu menerusi kebangkitan ideologi Hindutva dan jaringan ekstremis yang berakar daripada ekosistem Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) di India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim memandang serius perkembangan politik di India yang menurutnya semakin memperlihatkan penyempitan ruang sivik, peningkatan ujaran kebencian terhadap golongan minoriti serta penggunaan agama sebagai alat mobilisasi kuasa politik.
Jelas beliau, ideologi Hindutva bukan sekadar gerakan keagamaan, sebaliknya merupakan projek politik yang bertujuan membentuk negara berasaskan identiti majoriti, sekali gus menentukan hak kewarganegaraan berdasarkan agama dan budaya.
Lebih membimbangkan, katanya, ideologi kebencian tersebut tidak terhenti dalam sempadan India, sebaliknya disebarkan melalui rangkaian diaspora, platform digital, dana, naratif media serta program kebudayaan yang kelihatan tidak berbahaya.
“Malaysia sebagai negara majmuk tidak terkecuali daripada percubaan penyusupan ini,” katanya.
Mapim turut mendakwa menerima laporan serta memerhati tanda-tanda awal penyebaran naratif kebencian berasaskan Hindutva dalam ruang awam tempatan, termasuk menerusi ucapan provokatif, simbol politik luar dan kempen digital yang memindahkan konflik India ke konteks Malaysia.
Menurutnya, perkembangan itu berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama serta menggugat keharmonian nasional.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebimbangan tersebut tidak ditujukan kepada penganut Hindu atau komuniti India di Malaysia, sebaliknya terhadap ideologi politik kebencian yang menunggang agama untuk tujuan supremasi dan perpecahan.
Mapim turut menggesa pihak berkuasa mengambil langkah berprinsip dan berperlembagaan bagi melindungi keselamatan sosial negara, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap ideologi kebencian rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap hasutan secara adil.
Selain itu, badan bukan kerajaan itu turut mencadangkan peningkatan literasi media, pendidikan kewarganegaraan, pengukuhan kerjasama antara agensi keselamatan serta peluasan dialog antara agama sebagai benteng menentang ekstremisme.
“Peringatan pembunuhan Gandhi mengingatkan kita bahawa apabila kebencian dijadikan budaya politik, keganasan akan menjadi tidak dapat dielakkan,” katanya.
Mapim menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan prinsip keadilan, keharmonian dan keselamatan sosial demi masa depan Malaysia yang aman dan bersatu. – DETIK MALAYSIA