SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan pendedahan berkaitan The Epstein Files sebagai “Satanic Files” yang mencerminkan jaringan penyalahgunaan kuasa, eksploitasi dan budaya impunitas melibatkan golongan elit.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, fail tersebut bukan sekadar khabar angin atau teori konspirasi, sebaliknya membuka tirai terhadap salah guna kuasa yang membolehkan jenayah terhadap kanak-kanak berlaku secara sistematik.
Menurut beliau, jenayah dilakukan mendiang Jeffrey Epstein tidak berlaku secara bersendirian, sebaliknya dilindungi oleh sistem yang melindungi golongan berkuasa, menakut-nakutkan mangsa dan mengaburkan kebenaran.
“Yang mengejutkan bukan hanya penderaan itu sendiri, tetapi tempoh masa yang diambil sebelum kebenaran separa didedahkan dan keadilan mula ditegakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi menegaskan, penggunaan istilah “satanic” bukan bersifat keagamaan, tetapi sebagai gambaran moral terhadap jenayah terancang melibatkan pemerdagangan kanak-kanak, perlindungan institusi terhadap pemangsa serta pemadaman bukti.
Beliau menggariskan tiga realiti membimbangkan yang didedahkan oleh fail tersebut iaitu penyalahgunaan kuasa tanpa akauntabiliti, budaya membungkam mangsa melalui ugutan dan tindakan perundangan, serta kelewatan keadilan yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap mangsa.
Mohd Azmi berkata, tuntutan tersebut bukan didorong dendam, tetapi bertujuan memulihkan tatanan moral dan memastikan keadilan ditegakkan.
“The Epstein Files mencabar kita untuk memilih antara keselesaan atau nurani, kerahsiaan atau ketelusan, impunitas atau keadilan,” katanya.
Beliau menambah, sejarah tidak akan memaafkan sebarang usaha menutup kebenaran, manakala kemanusiaan tidak mampu bertahan dengan budaya berdiam diri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAANI AI