JAKARTA – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan komitmennya untuk terus beraksi di Liga Arab Saudi bersama kelabnya, Al Nassr FC.
Ronaldo menepis dakwaan kononnya dia tidak lagi betah di Arab Saudi dan mahu meninggalkan liga tersebut.
“Saya adalah sebahagian daripada Arab Saudi. Saya mahu meneruskan karier di sini,” katanya selepas perlawanan menentang Al Hazm, awal pagi tadi.
Menurutnya, negara itu menerima kehadirannya dengan baik termasuk keluarga dan rakan-rakannya.
“Ini negara yang menyambut saya serta keluarga dan rakan-rakan saya. Saya bahagia di sini dan mahu terus tinggal di sini,” tambahnya.
Sebelum ini, Ronaldo dikatakan melakukan aksi mogok sebagai tanda protes terhadap Public Investment Fund (PIF) yang didakwa tidak membangunkan Al Nassr secara serius.
Ketika itu, kemuncak ketegangan berlaku apabila seteru utama, Al Hilal, yang turut dibiayai PIF, berjaya mendapatkan khidmat penyerang Perancis, Karim Benzema dari Al Ittihad.
Namun, situasi tersebut kini dilihat sudah reda apabila Ronaldo kembali memimpin jentera serangan Al Nassr.
Dalam aksi Liga Arab Saudi 2025/2026 di Stadium Awwal Park, Al Nassr membelasah Al Hazm 4-0 dengan Ronaldo meledak dua gol.
Gol pertama terhasil pada minit ke-13 menerusi hantaran Kingsley Coman. Ronaldo tenang melepaskan rembatan ke sudut kiri atas gawang lawan. Gol tersebut sempat disemak VAR sebelum disahkan sah.
Coman kemudian melebarkan kedudukan pada minit ke-30 hasil umpanan Joao Felix, sebelum Angelo Gabriel menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-77.
Dua minit berselang, Ronaldo sekali lagi mencetak gol dengan situasi hampir sama seperti jaringan pertama menerima hantaran Coman dan meletakkan bola ke sudut kiri atas. Sekali lagi VAR digunakan sebelum jaringan disahkan.
Kemenangan itu turut menyaksikan Ronaldo kini mengumpul 964 gol sepanjang karier profesionalnya, semakin hampir memburu rekod agung 1,000 gol.
Lebih manis, sejurus tamat perlawanan, Ronaldo disarungkan bisht jubah tradisional lelaki Arab sebagai simbol penghormatan sempena sambutan hari lahir Arab Saudi.
Kapten Al Nassr itu kemudian meraikan kemenangan bersama penyokong yang terus setia berdiri di belakangnya.
Jelas, mesej Ronaldo cukup tegas dia masih berbisa dan belum berhasrat meninggalkan bumi Arab Saudi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Cristiano Ronaldo