SHAH ALAM – Situasi yang sedang berlaku di Lubnan hari ini adalah wajah lain kepada kempen keganasan Israel yang berterusan di rantau Asia Barat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penderitaan rakyat Lubnan sering tenggelam di sebalik liputan konflik lain, sedangkan serangan, korban awam, kemusnahan infrastruktur dan ketakutan harian terus menghimpit masyarakat negara itu.
Menurut laporan media antarabangsa yang memetik kenyataan Menteri Kesihatan Lubnan pada 4 Disember 2024, serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah mengorbankan 4,047 orang dan mencederakan 16,638 yang lain.
Walaupun gencatan senjata diusahakan Amerika Syarikat pada 2024, laporan Reuters menyebut serangan berterusan selepas itu telah menyebabkan kira-kira 400 lagi kematian berdasarkan sumber keselamatan Lubnan.
Pada Januari 2026, Norwegian Refugee Council (NRC) melaporkan sekurang-kurangnya 50 serangan udara dilancarkan di Lubnan, angka bulanan tertinggi sejak pengumuman gencatan senjata.
Sementara itu, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan, United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) menegaskan penerbangan pesawat Israel ke ruang udara Lubnan merupakan pelanggaran Resolusi 1701 dan membahayakan orang awam serta pasukan pengaman.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, laporan Reuters dan Associated Press memetik pihak berkuasa tempatan menyatakan serangan udara terbaharu mengorbankan antara 10 hingga 12 orang serta mencederakan puluhan yang lain termasuk kanak-kanak.
“Kesimpulannya jelas, gencatan senjata yang diumumkan tidak berfungsi sebagai perlindungan kepada orang awam. Ia menjadi istilah politik, sedangkan peluru dan bom terus berbicara,” kata Mohd Azmi dalam kenyataan media hari ini.
Mapim turut menegaskan Amerika Syarikat tidak boleh dipisahkan daripada realiti keganasan berterusan itu, termasuk di Lubnan, berikutan aliran senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel.
Antara yang dibangkitkan ialah kelulusan pakej penjualan senjata bernilai kira-kira USD7.4 bilion pada Februari 2025, selain laporan rancangan penjualan sekitar USD6.4 bilion pada September 2025.
Laporan Quincy Institute pula menganggarkan sekurang-kurangnya USD21.7 bilion bantuan ketenteraan telah disediakan kepada Israel sejak 7 Oktober 2023, di samping komitmen jualan senjata tambahan bagi tahun-tahun berikutnya.
“Apabila senjata terus mengalir dan perlindungan diplomatik terus diberikan, maka istilah ‘gencatan senjata’ di lapangan menjadi tidak bermakna,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA