KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara telus dan profesional berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta sabotaj terhadap kestabilan negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW mengambil maklum kenyataan rasmi Ketua Polis Negara bertarikh 27 Februari 2026 berhubung siasatan yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“MCW berpandangan tindakan siasatan ini selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan bukan suatu tindakan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap laporan polis dibuat seorang individu yang mendakwa wujud perbincangan dengan pihak luar negara termasuk firma komunikasi strategik antarabangsa bagi memberi tekanan media terhadap kepimpinan negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekiranya dakwaan ini benar, ia merupakan perkara serius yang memerlukan penelitian rapi oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Menurutnya, setiap laporan polis yang dibuat mewajibkan PDRM menjalankan siasatan dan tindakan tersebut tidak boleh dianggap sebagai usaha menutup mulut pengkritik, sebaliknya merupakan proses biasa dalam sistem keadilan jenayah.
Beliau menegaskan, jika ada salah laku, siasat dan dakwa, manakala jika tiada bukti kukuh, nama pihak terlibat perlu dibersihkan secara adil tanpa dipengaruhi tekanan media atau persepsi awam. – DETIK MALAYSIA