LE MANS – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi cemerlang apabila menamatkan sesi latihan kategori Moto3 di kedudukan keempat pada hari pembukaan Grand Prix Perancis di Litar Bugatti, hari ini.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Hakim mempamerkan tunggangan cukup meyakinkan sepanjang sesi berlangsung untuk mengesahkan slot automatik ke Q2 menjelang sesi kelayakan.
Pelumba berusia 18 tahun itu memulakan saingan dengan langkah positif apabila menamatkan sesi Latihan Bebas 1 (FP1) di tempat ketujuh menerusi catatan masa 1 minit 41.723 saat, hanya 0.469 saat di belakang pelumba terpantas.
Bagaimanapun, Hakim tampil lebih garang pada sesi latihan sebelah petang apabila memperbaiki catatan masa kepada 1:40.443 saat untuk menamatkan sesi di kedudukan keempat keseluruhan.
Catatan tersebut meletakkan Hakim hanya 0.232 saat di belakang pelumba Sepanyol, David Muñoz daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang muncul pelumba terpantas hari pertama dengan masa 1:40.211 saat.
Aksi konsisten dipamerkan Hakim turut menyaksikannya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terbaik sekali gus melayakkan diri secara automatik ke Q2.
Prestasi memberangsangkan itu meneruskan momentum positif Hakim dalam kempen Moto3 musim 2026 apabila semakin menyerlah sebagai antara pelumba rookie terbaik musim ini.
Kemampuannya untuk kekal kompetitif di salah satu litar paling teknikal dalam kalendar MotoGP turut membuktikan peningkatan kematangan serta kemampuan adaptasi pelumba negara itu di pentas dunia.
Dengan sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar masih menanti, peminat sukan permotoran tanah air pastinya mengharapkan Hakim mampu meneruskan rentak cemerlang di Le Mans. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing