JAKARTA – Bekas kapten skuad kebangsaan Indonesia, Evan Dimas, berkongsi pengalaman hidupnya ketika hadir pada sesi coaching clinic dan talkshow bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus, di Garuda Store Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta Pusat, Jumaat lalu.
Pemain yang kini berehat daripada bola sepak profesional itu menasihatkan generasi muda agar tidak mengabaikan pendidikan walaupun sedang mengejar cita-cita sebagai pemain bola sepak.
“Pesan saya buat adik-adik, walaupun ikut SSB (Sekolah Sepak Bola) atau akademi, jangan tinggalkan pendidikan. Bola sepak dan pendidikan harus berjalan seiring,” katanya dipetik dari sumber Bola.com.
Evan mengakui pernah berdepan dilema pada awal kariernya sekitar tahun 2011 ketika dipilih mewakili Indonesia ke Barcelona.
“Ketika itu saya disuruh memilih antara bola sepak atau pendidikan. Saya pilih bola sepak dan sering ponteng sekolah, akhirnya banyak ketinggalan. Sekarang saya rasa lebih baik kedua-duanya berjalan sama-sama sejak usia muda,” jelasnya.
Evan menegaskan pengalaman itu menjadi pengajaran berharga, sekali gus mengingatkan pemain muda supaya menyeimbangkan antara akademik dan kerjaya sukan demi masa depan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - IG Evan Dimas
