SEATTLE – Amerika Syarikat mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Australia 2-0 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Seattle, awal pagi tadi.
Skuad USMNT mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang perlawanan sebelum meraih kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Australia, Cameron Burgess serta satu lagi gol oleh Alex Freeman.
Bermain di hadapan penyokong sendiri, Amerika Syarikat menguasai sebahagian besar perlawanan dengan melancarkan tekanan berterusan ke kubu lawan.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila Burgess tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang serangan pasukan tuan rumah, sekali gus memberikan kelebihan buat Amerika Syarikat.
Australia cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun kekuatan jentera pertahanan Amerika Syarikat berjaya mengekang setiap percubaan yang dilakukan.
Freeman kemudian menambah derita skuad Socceroos menerusi jaringan kedua untuk mengukuhkan kedudukan tuan rumah dan memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.
Kemenangan itu membolehkan Amerika Syarikat mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik lebih awal, sekali gus meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kumpulan D.
Walaupun tewas, Australia masih belum tersingkir dan kekal berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati bergantung kepada keputusan aksi terakhir peringkat kumpulan.
Keputusan tersebut turut mengukuhkan status Amerika Syarikat sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam kempen Piala Dunia 2026 kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo