VANCOUVER – Kapten Mesir, Mohamed Salah sekali lagi muncul watak utama apabila membantu negaranya mencipta sejarah dengan meraih kemenangan pertama di pentas Piala Dunia selepas menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, awal pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan skuad The Pharaohs merakam kemenangan sulung dalam penampilan keempat mereka di kejohanan berprestij tersebut sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, Mesir dikejutkan terlebih dahulu apabila New Zealand mendahului pada minit ke-15 menerusi tandukan Finn Surman hasil sepakan penjuru Tim Payne.
Skuad All Whites hampir menambah jaringan pada babak pertama, namun penjaga gol Mesir, Mostafa Shobier tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting untuk memastikan pasukannya terus berada dalam permainan.
Mesir yang bergelut pada separuh masa pertama akhirnya bangkit sejurus selepas rehat apabila Mostafa Abdel Raouf atau Zizo menanduk masuk hantaran Mohamed Hany pada minit ke-58 bagi menyamakan kedudukan.
Sembilan minit kemudian, Salah meletakkan Mesir di hadapan selepas menyudahkan gerakan menarik yang dimulakan oleh Zizo menerusi hantaran tumit bijak di dalam kotak penalti.
Mesir terus menguasai permainan sebelum pemain gantian, Mahmoud Hassan Trezeguet mengesahkan kemenangan menerusi tandukan pada minit ke-82 hasil sepakan penjuru tepat yang diambil Salah.
Kemenangan bersejarah itu meletakkan Mesir dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke pusingan 32 terbaik menjelang aksi terakhir Kumpulan G.
Dengan nasib masih berada di tangan sendiri, anak-anak buah Mesir kini hanya memerlukan satu lagi keputusan positif untuk melakar satu lagi sejarah baharu di pentas Piala Dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Egypt NT