KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad para negara meraih satu pingat emas, dua gangsa dan mencipta satu rekod dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi, India disifatkan sebagai bukti bahawa dasar inklusif negara perlu terus diperkasakan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kejayaan atlet para negara seperti Datuk Abdul Latif Romly yang memperbaharui rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.67 meter, bersama rakan sepasukan Muhammad Ziyad Zolkefli dan Muhammad Nazmi Nasri, membuktikan bahawa Malaysia mempunyai sistem pembangunan sukan para yang berkesan.
“Ini bukan kebetulan, tetapi bukti bahawa dasar inklusif perlu terus diperkuatkan. Sukan para bukan tentang satu nama tetapi tentang sistem yang melahirkan wira.
“Jika ekosistem ini diperkukuh, Malaysia bukan sekadar ada pemenang tetapi akan menjadi kuasa dunia dalam sukan inklusif,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat dalam kejohanan itu atas semangat juang tinggi yang ditunjukkan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB Hannah Yeoh