KOTA BHARU – Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) berdepan kebimbangan kesihatan apabila tiga pemain pasukan itu disahkan positif influenza, manakala lapan lagi mengalami simptom termasuk demam dan sakit badan.
Kelab berkenaan memaklumkan kesemua pemain terbabit telah menjalani saringan oleh pasukan perubatan kelab bagi mengawal penularan penyakit serta mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan skuad.
Dalam perkembangan sama, seramai 17 pemain lain turut menjalani saringan dan lapan daripadanya didapati menunjukkan simptom.
Kesemua pemain yang terjejas kini dipantau rapat pihak pengurusan dan pasukan perubatan KRWFC.
Situasi itu mula dikesan sebelum aksi Unifi Liga Super Malaysia 2026/27 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini apabila beberapa pemain dilaporkan sudah menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.
Bagaimanapun, meskipun berdepan keadaan fizikal yang kurang memuaskan, sebahagian pemain terbabit tetap diturunkan dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
KRWFC bagaimanapun mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit permainan ketika berdepan juara Malaysia itu.
Susulan keputusan saringan berkenaan, KRWFC mengambil langkah pencegahan segera apabila tiga pemain yang disahkan positif diasingkan daripada anggota skuad lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Pasukan perubatan kelab turut diarahkan menjalankan pemantauan kesihatan secara berterusan terhadap semua pemain, terutama mereka yang kini mengalami simptom.
Langkah berkenaan penting berikutan influenza yang mudah berjangkit dan berpotensi merebak dengan pantas dalam kalangan skuad bola sepak profesional yang menjalani latihan serta aktiviti bersama.
Perkembangan itu hadir ketika KRWFC berdepan jadual padat saingan Liga Malaysia yang dijadual berlangsung sehingga pertengahan September.
Sebarang penularan lebih meluas berpotensi menjejaskan kemampuan pasukan untuk menurunkan barisan terkuat dalam aksi akan datang.
Justeru, pihak kelab kini memberi keutamaan kepada aspek pencegahan dan pemulihan pemain, selain menunggu perkembangan lanjut daripada pasukan perubatan.
KRWFC turut menyerahkan laporan perubatan kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman rasmi berhubung situasi kesihatan yang melanda skuad berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KRWFC
