KUALA LUMPUR - New Zealand memasang impian besar untuk memburu kejuaraan sulung Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang bakal membuka tirai di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Sabtu.
Malah skuad bimbingan Mike Delaney itu mahu menjadikan kejayaan dua pasukan senior menjuarai saingan Piala Negara-Negara 2025 sebagai inspirasi untuk merealisasikan impian tersebut.
Beliau berkata, pasukan tampil dengan semangat membara menerusi perubahan dalam pasukan bagi membentuk skuad mantap.
"Kami melakukan perubahan dalam pasukan, lima pemain yang beraksi pada edisi lalu tiada dalam skuad. Namun kami memanggil semula 11 pemain baharu dan mereka juga ada pengalaman di pentas antarabangsa.
"Malah kami juga ada empat pemain yang pernah beraksi bersama skuad senior. Jadi gabungan ini mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lawan di SOJC.
"Kami tidak pernah menang trofi SOJC, jadi kali ini diharapkan ia menjadi kenyataan. Pasukan senior lelaki dan wanita menjadi motivasi kami," katanya.
SOJC yang memasuki edisi ke-13 sejak diperkenalkan pada 2011 dijadual bermula pada 11 hingga 18 Oktober.
Sebagai rekod, skuad wanita senior New Zealand muncul juara Piala Negara-Negara setelah menewaskan Ireland 4-2 menerusi pukulan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar di Santiago, Chile pada Mac lalu.
Pasukan lelaki juga tidak mengecewakan apabila mengungguli kejohanan sama di Bukit Jalil Kuala Lumpur setelah menumpaskan Pakistan 5-2 pada Jun lepas.
Delaney menjelaskan saingan kali ini bukan mudah kerana bakal berdepan dengan juara bertahan, Great Britain, selain India dan pasukan tuan rumah, Malaysia.
"Great Britain sebuah pasukan yang hebat. India pula membuat persiapan rapi menerusi aksi persahabatan di Eropah.
"Malaysia juga sebuah pasukan yang bagus. Kerap melakukan serangan balas dengan pantas, banyak kemahiran dan bermain dengan sepenuh hati," katanya.
New Zealand akan membuka tirai kejohanan menentang Australia pada pukul 8.35 malam Sabtu.
Turut memberi cabaran pada kejohanan edisi ke-13 itu ialah Pakistan. - DETIK MALAYSIA