SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) menjalin kerjasama strategik dengan Perintis Futsal Academy (Perintis Academy) bagi memperkukuh pembangunan bakat muda dalam bidang futsal, bola sepak dan pendidikan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis rasmi di kampus MSU di sini, kelmarin.
MoU berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat muda selain menyediakan laluan pendidikan lebih luas kepada atlet berbakat Perintis Academy termasuk peluang mendapatkan biasiswa di MSU.
Menerusi kerjasama itu, Perintis Academy turut akan menyediakan pasukan pelapis bagi MSU, manakala universiti berkenaan dapat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Presiden Perintis Academy, Raja Isa Raja Akram Shah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang bola sepak.
Kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan atlet secara holistik dengan menggabungkan aspek sukan, pendidikan akademik serta pendedahan terhadap kerjaya dalam industri sukan.
Selain itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai program komuniti, outreach, kesukarelawanan dan pemerkasaan belia bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Kerjasama itu turut membuka ruang kepada penganjuran seminar, persidangan, forum, bengkel dan latihan profesional selain perkongsian kepakaran antara MSU dan Perintis Academy.
Majlis menandatangani MoU disempurnakan Presiden dan Pengasas MSU, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid bersama Pengasas Perintis Futsal Academy, Muhammad Khalis Othman.
Majlis berkenaan disaksikan Raja Isa selaku Presiden Perintis Futsal Academy, Naib Presiden Kanan, Perhubungan Industri dan Keusahawanan MSU, Prof. Dr. Abdul Jalil Ghazali serta Pengarah Jabatan Pembangunan Kerjaya dan Pelajar, Halijah Hassan.
Kerjasama itu turut menyokong pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Environmental, Social and Governance (ESG) serta inisiatif Sustainable Development Goals (SDGs) termasuk aspek kesihatan, pendidikan, pengurangan ketidaksamarataan dan pembangunan komuniti.
Melalui kerjasama berkenaan, MSU dan Perintis Academy menyasarkan pembangunan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai keupayaan dalam bidang sukan, malah mampu menyerlah dalam pendidikan serta memberi sumbangan kepada komuniti. – DETIK MALAYSI
Kredit foto – MySports Media Group
