KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu akauntabiliti membabitkan UiTM Holdings Sdn Bhd, sebaliknya mendedahkan status sebenar tindakan susulan terhadap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kerugian RM157.04 juta yang diperkatakan bukanlah kerugian baharu, sebaliknya merujuk kepada kerugian sebelum cukai bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Menurutnya, Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang mengambil alih jawatan pada Ogos 2025 turut menjelaskan bahawa kepimpinan semasa sedang melaksanakan pelan pemulihan.
“Perkara ini telah melalui penelitian institusi negara apabila PAC membentangkan Laporan DR.3/2024 mengenai UiTM Holdings pada 18 Mac 2024.
“Dalam tindakan susulan, PAC mengakui beberapa penambahbaikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UiTM, namun turut menyifatkan Pelan Strategik 10 Tahun UiTM Holdings sebagai terlalu optimistik dan perlu disesuaikan dengan cabaran sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, perbahasan mengenai isu berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan siapa yang perlu dipersalahkan.
Sebaliknya, katanya, persoalan lebih penting ialah status pelaksanaan syor PAC selepas lebih dua tahun, hasil penyusunan semula yang dilakukan KPT serta prestasi kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UiTM Holdings ketika ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan yang bermula pada 2023 masih berjalan, termasuk berkaitan projek solar 50 megawatt (MW) di Gambang dan pembayaran RM42 juta yang dilaporkan dibuat bagi tujuan tidak berkaitan projek serta tanpa kelulusan lembaga.
“Siasatan itu belum menentukan kesalahan mana-mana pihak.
“MCW menegaskan bahawa UiTM bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya ia institusi pendidikan negara dan amanah besar masyarakat Bumiputera.
“Jangan jadikan UiTM medan pertarungan politik. Tetapi jangan pula gunakan alasan ‘isu legasi’ untuk menutup tuntutan akauntabiliti,” katanya.
Jais berkata, fakta berkaitan isu itu perlu dibuka, kemajuan dibentangkan, siasatan diselesaikan dan pertanggungjawaban ditentukan berdasarkan bukti.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran,” katanya. – DETIK MALAYSIA
