BANGI – Seorang lelaki maut manakala 18 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda di Kilometer 293.4 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.57 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada pukul 3.15 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres terbabas sendiri sebelum melanggar tiang papan tanda.
“Terdapat 19 orang mangsa termasuk pemandu bas. Seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala 18 mangsa lain cedera dan sedang menerima rawatan oleh pihak KKM dan Unit EMRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 3.48 pagi, manakala selebihnya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba.
Tambahnya, operasi menyelamat diketuai oleh PBK II Shamsul Faizal Mokhtar dari BBP Bangi dengan kekuatan 18 anggota melibatkan bantuan daripada BBP Seri Kembangan dan BBP KLIA bersama enam jentera termasuk FRT dan EMRS. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Bomba Selangor