BANGKOK – Petarung muda negara, Adam Rakib meneruskan kebangkitan cemerlang di pentas antarabangsa selepas menewaskan petarung Perancis, Enzo Clarisse pada ONE Championship: The Inner Circle di Stadium Tinju Lumpinee, malam tadi.
Pertarungan divisyen strawweight itu dianggap antara aksi paling menarik malam tersebut apabila kedua-dua petarung hadir dengan reputasi dan rekod memberangsangkan.
Adam bermula garang sebaik loceng pembukaan apabila terus memberi tekanan kepada lawannya sebelum mencuri tumpuan pada pusingan pertama menerusi satu knockdown hasil kombinasi serangan tajam dan tepat.
Momen tersebut memberikan kelebihan besar kepada petarung negara itu dalam kiraan mata juri selain membolehkannya mengawal rentak pertarungan selepas itu.
Enzo cuba bangkit dan merapatkan jurang pada pusingan berikutnya, namun Adam kekal tenang sambil mempamerkan disiplin taktikal cukup baik sepanjang pertarungan berlangsung.
Petarung muda negara itu bijak mengawal pertukaran serangan selain mengelak daripada mengambil risiko berlebihan sambil terus mengutip mata menerusi pukulan bersih ke arah lawannya.
Selepas tamat tiga pusingan sengit, aksi konsisten dipamerkan Adam menghadiahkannya kemenangan menerusi keputusan juri dalam pertarungan utama ONE “The Inner Circle”.
Kemenangan tersebut juga menjadi kemenangan ketiga berturut-turut buat Adam dalam siri ONE Championship sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek muay thai paling menyerlah dimiliki Malaysia ketika ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE