KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkesempatan ‘terjah’ Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur di Kampung Pandan, hari ini bagi meninjau suasana pembelajaran serta kemudahan pelajar di institusi yang sudah berusia hampir 51 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1974.
Menurut beliau, lawatan itu antara lain bagi menilai hasil kerja menaik taraf kemudahan asrama dan tandas pelajar selepas menerima banyak maklum balas daripada pengguna media sosial sejak tahun lalu.
“Majlis Mara telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 pada tahun 2024 untuk membaiki fasiliti termasuk tandas-tandas asrama. Alhamdulillah, tahun ini semuanya telah siap dinaik taraf sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Tambahnya, IKM Kuala Lumpur merupakan institusi TVET di bawah Bahagian Kemahiran dan Teknikal Mara yang menawarkan 11 program kemahiran terdiri daripada tujuh program diploma dan empat sijil dalam bidang elektrik, mekanikal, pembuatan, servis serta tekno-keusahawanan.
“Menariknya, semua pelajar di sini dibiayai sepenuhnya oleh Mara dan menerima elaun bulanan sebanyak RM300 tanpa sebarang yuran pengajian,” jelasnya.
Dalam lawatan itu, Asyraf turut meninjau blok akademik, makmal, bengkel dan asrama, sambil meluahkan rasa gembira melihat pelajar berpuas hati dengan suasana pembelajaran yang kondusif.
“Mara akan terus memperkukuh ekosistem TVET Bumiputera dengan menaik taraf fasiliti pembelajaran, memperkasa tenaga pengajar dan memperluas kolaborasi industri agar pelajar bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berdaya saing serta mampu menjadi usahawan berjaya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah IKM KL, En. Marzuki Mahamad Radzi serta seluruh warga kerja atas komitmen mereka membentuk generasi teknousahawan Mara yang berkemahiran tinggi dan cemerlang. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DR ASYRAF WAJDI DUSUKI