KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan fokus utamanya kini adalah memastikan Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dan meraih tiga mata penuh dalam aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, berbanding terpengaruh dengan kontroversi penggantungan FIFA yang hangat diperkatakan.
Menurut Cklamovski, keutamaan pasukan ketika ini adalah prestasi di atas padang dan bukannya isu luar yang boleh mengganggu tumpuan pemain.
“Kami tidak boleh mengawal perkara di luar padang. Apa yang boleh kami kawal ialah bagaimana kami membuat rakyat Malaysia berbangga dengan cara kami bermain bola sepak. Segala spekulasi dan gangguan luar perlu diketepikan kerana ia tidak menghormati permainan itu sendiri,” katanya paada sidang akhbar, semalam.
Malaysia kini mencatat tujuh perlawanan rasmi tanpa kalah sejak Mac lalu, dengan satu-satunya kekalahan dialami ketika tewas 0-3 kepada Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup pada 3 Jun.
Cklamovski menegaskan beliau hanya mahu pasukan kekal fokus terhadap persiapan dan prestasi di atas padang bagi menutup tahun 2025 dengan rekod cemerlang.
“Saya hanya fokus kepada apa yang kami boleh kawal persiapan, persembahan dan memastikan kami melaksanakan segala perancangan dengan baik. Matlamat saya adalah untuk melihat Malaysia menamatkan tahun 2025 tanpa kalah, menjaringkan gol dan mengekalkan rekod bersih,” katanya.
Jurulatih dari Australia itu turut memuji sikap profesional dan kekuatan mental anak buahnya yang kekal bersatu serta berdisiplin walaupun berdepan tekanan luar.
“Saya sentiasa terinspirasi dengan kumpulan pemain ini setiap hari. Mereka mempunyai mentaliti dan disiplin tinggi yang membanggakan saya sebagai jurulatih.
“Kami perlu terus bekerja keras setiap hari, tidak boleh memandang ringan mana-mana lawan dan mesti kekal lapar untuk memperkukuh identiti bola sepak Malaysia,” tambahnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Malaysia NT