SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap laporan terkini mengenai tragedi bot karam yang membawa puluhan hingga ratusan pelarian Rohingya dari Myanmar, dipercayai hilang di laut akibat cuaca buruk dan keadaan terdesak.
Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden itu menggambarkan realiti tragis yang terus menghantui etnik Rohingya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa di lautan demi mencari perlindungan.
“Setiap kehilangan nyawa ini adalah luka besar kepada kemanusiaan. Ia bukan sekadar isu pelarian, tetapi cerminan kegagalan dunia khususnya rantau ASEAN untuk bertindak tegas dalam menghentikan krisis berpanjangan di Myanmar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, pelarian Rohingya terus memilih jalan laut yang berbahaya kerana tiada lagi pilihan lain setelah dinafikan hak kewarganegaraan dan dianiaya di tanah air sendiri.
“Krisis di Rakhine bukan lagi soal kemiskinan, tetapi kehancuran sosial, ekonomi dan hak asasi manusia yang mutlak,” katanya.
Justeru, beliau menggesa ASEAN untuk segera bertindak dan tidak menangguhkan lagi penyelesaian konkrit terhadap penderitaan etnik Rohingya.
“Kami menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar terus berdoa, menyalurkan sumbangan dan tampil sebagai sukarelawan bagi membantu mangsa.
“Krisis Rohingya bukan lagi isu politik atau sempadan ia adalah isu kemanusiaan sejagat. ASEAN tidak boleh menunggu lebih lama. Setiap hari yang berlalu tanpa tindakan hanya menambah jumlah nyawa yang tenggelam dalam diam,” katanya.