NAKHON PATHOM, Thailand – Delegasi Chinlone Myanmar hari ini mengadakan pertemuan penting dengan Technical Delegate Sepaktakraw dan Chinlone SEA Games 33, Datuk Abdul Halim Kader, bagi membincangkan hala tuju pembangunan sukan warisan ASEAN itu yang kini semakin menuju ke pentas antarabangsa.
Pertemuan tersebut berlangsung sejurus acara rasmi di venue pertandingan dan dihadiri Patron Myanmar Chinlone Federation, Soe Tint, yang juga bekas Timbalan Menteri Kementerian Pembinaan Myanmar.
Dalam perbincangan itu, Abdul Halim menegaskan bahawa Myanmar sebagai negara asal Chinlone perlu terus memainkan peranan utama dalam penyelarasan, standardisasi serta penambahbaikan undang-undang sukan tersebut.
“Kestabilan dan profesionalisme Chinlone ASEAN bergantung kepada Myanmar sebagai pemegang warisan dan rujukan undang-undang asal sukan ini," katanya, hari ini.
Beliau turut menggesa Myanmar memperkukuh kerjasama teknikal bersama ASTAF dan Asian Chinlone Federation (ACF) bagi memastikan sukan itu berkembang secara lebih moden dan teratur.
Abdul Halim turut mencadangkan agar Kongres ASEAN Chinlone diadakan bulan hadapan di Yangon, Myanmar, bagi menyelaraskan pembangunan sukan itu di rantau ini.
Dalam pertemuan sama, beliau turut menyarankan supaya Chinlone diperkenalkan secara lebih sistematik di sekolah-sekolah seluruh ASEAN kerana kelebihannya sebagai sukan kos rendah, selamat dan sesuai untuk kokurikulum.
Ujarnya, antara nilai tambahnya termasuk memupuk kreativiti, ketepatan pergerakan serta mengangkat seni warisan ASEAN ke peringkat akar umbi.
“Chinlone bukan sekadar suukan, ia seni budaya yang membentuk karakter, disiplin dan identiti ASEAN.”- DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Asian Sepaktakraw Federation - ASTAF