ASSEN – Pelumba muda negara, Hakim Danish sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Belanda di kedudukan ketujuh selepas keputusan rasmi dikemas kini susulan penalti yang dikenakan ke atas beberapa pelumba lain di TT Circuit Assen, hari ini.
Mewakili pasukan AEONCredit–MT Helmets–MSi, Hakim pada asalnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 selepas mempamerkan aksi bertenaga bermula dari petak ke-16.
Namun, penalti selepas perlumbaan terhadap Rico Salmela (+6 saat), Joel Kelso (+3 saat) dan Adrian Fernandez (+3 saat) melonjakkan pelumba negara itu ke kedudukan ketujuh.
Hakim memulakan perlumbaan dengan cemerlang apabila memintas beberapa pelumba sebaik lampu hijau menyala sebelum berjaya menembusi kelompok lima terbaik.
Aksi konsisten yang dipamerkan menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu terus menghampiri kelompok hadapan dan pada pusingan ke-10, dia mengejutkan ramai apabila berjaya mendaki ke tangga kedua.
Ketika itu, peluang untuk meraih podium sulung Moto3 dilihat semakin cerah apabila Hakim mula memburu pendahulu perlumbaan, Maximo Quiles.
Bagaimanapun, pertarungan sengit di kelompok hadapan serta faktor kehausan tayar menyaksikan beberapa pencabar berjaya memintasnya pada penghujung perlumbaan.
Hakim akhirnya melepasi garisan penamat di tempat ke-10, hanya 4.475 saat di belakang Quiles sebelum keputusan rasmi mengesahkan dia naik ke kedudukan ketujuh.
Keputusan tersebut menghadiahkan sembilan mata kejuaraan kepada Hakim, sekali gus mengumpul keseluruhan 82 mata selepas 10 pusingan musim ini.
Lebih manis, pencapaian itu melonjakkan Hakim ke tangga keenam keseluruhan carta kejuaraan dunia Moto3, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda paling menyerlah musim ini.
Sementara itu, Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team muncul juara perlumbaan selepas mencatat masa 33 minit 51.801 saat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing