INGLEWOOD, California – Jaringan dramatik Stephen Eustaquio pada masa kecederaan babak kedua memastikan Kanada menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan di Stadium SoFi, namun kebuntuan gagal dipecahkan apabila benteng pertahanan kedua-dua pasukan tampil cukup ampuh.
Ketika perlawanan dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Eustaquio muncul wira Kanada apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90+2.
Pemain tengah itu melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams, sekali gus mencetuskan kegembiraan kem Kanada.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad kendalian Jesse Marsch mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik, manakala perjalanan Afrika Selatan berakhir seawal pusingan kalah mati.
Kanada kini hanya menanti pemenang aksi antara Belanda dan Maghribi untuk menentukan lawan mereka pada pusingan seterusnya, dengan bekalan keyakinan tinggi hasil kemenangan dramatik tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo