SEOUL – Pengendali Korea Selatan, Hong Myung-bo mengambil keputusan meletakkan jawatan kurang 12 jam selepas skuad Taeguk Warriors tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan Korea Selatan mara ke pusingan 32 terbaik selepas sekadar menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga, namun gagal meraih slot sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Menurut laporan media tempatan, FourFourTwo Korea, Hong mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sejurus selepas kempen negaranya berakhir.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam semalam, jurulatih berusia 57 tahun itu mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pasukan memenuhi harapan penyokong.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua pencinta bola sepak Korea. Mulai hari ini, saya meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan,” katanya.
Hong mengakui menerima tugas mengendalikan pasukan kebangsaan bukanlah keputusan mudah, namun beliau sentiasa meletakkan kepentingan bola sepak Korea sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.
Katanya, walaupun tidak semua keputusan membuahkan hasil, setiap tindakan dilakukan dengan niat terbaik demi pembangunan jangka panjang bola sepak negara itu.
“Saya tidak mahu memberikan alasan. Saya memilih untuk memikul sepenuhnya tanggungjawab kerana gagal memenuhi harapan penyokong,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan pasukan atas komitmen yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Walaupun saya meninggalkan jawatan ini, kasih sayang saya terhadap bola sepak Korea tidak akan pernah berubah. Saya akan terus menyokong pasukan ini agar bangkit semula,” katanya.
Hong merupakan antara legenda terbesar bola sepak Korea Selatan apabila mengetuai negaranya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 sebelum kembali mengendalikan skuad kebangsaan pada 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau mencatat kadar kemenangan 57.7 peratus, namun tekanan daripada penyokong semakin memuncak selepas Korea Selatan gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2026.
Kini, KFA berdepan tugas penting untuk mencari pengendali baharu bagi memimpin Korea Selatan menghadapi kitaran antarabangsa seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA