AMPANG – Enam buah kenderaan rosak dalam kejadian runtuhan batu dari cerun bukit berhampiran kawasan tempat letak kereta di Mutiara Court, Taman Bukit Permai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pertama daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.45 pagi.
“Hasil siasatan mendapati runtuhan batu berlaku di kawasan parkir berhampiran pangsapuri berkenaan dan menyebabkan enam buah kenderaan rosak. Lima daripadanya berjaya dikeluarkan, manakala sebuah kereta jenis Perodua Kancil mengalami kerosakan menyeluruh (total lost),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada pukul 8.15 pagi diikuti runtuhan kedua kira-kira pukul 8.50 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan serta kerja keselamatan,” katanya.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan bantuan jentera berat bagi mengalihkan batu-batu runtuh tersebut.
Mohd. Azam turut menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau keadaan yang berpotensi membahayakan di kawasan cerun bukit sekitar lokasi kejadian. - DETIK MALAYSIA
