KUALA LUMPUR – Selepas pelaksanaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang mendapat perhatian dunia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar momentum solidariti terhadap Palestin diteruskan dan dikembangkan menjadi gerakan berterusan bagi menamatkan sekatan ke atas Gaza.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, menegaskan bahawa walaupun misi flotilla kali ini disekat oleh rejim Zionis, semangat dan tekanan terhadap Israel tidak boleh reda.
Sebanyak 42 kapal yang menyertai misi GSF telah dihadang tentera laut Israel di perairan antarabangsa antara 1 hingga 3 Oktober 2025, mengakibatkan 462 aktivis antarabangsa ditahan di pelabuhan Israel.
Meskipun berdepan tindakan keras, GSF telah berjaya menunjukkan bahawa sekatan Gaza tidak boleh diterima sebagai norma antarabangsa, selain merekodkan bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.
Malaysia turut menghantar 23 peserta, yang kesemuanya telah dibebaskan daripada tahanan Israel.
Mohd Azmi berkata, tindakan Israel itu sekali lagi mendedahkan hipokrasi kuasa besar dunia yang terus mempertahankan status quo penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Misi ini bukan hanya soal bantuan fizikal, tetapi kebangkitan kesedaran global dan desakan politik yang mesti diteruskan. Sekatan ke atas Gaza perlu ditentang di semua peringkat — diplomatik, moral dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, Mapim turut menyeru agar semua aktivis dan pertubuhan kemanusiaan mengekalkan disiplin dan ketelusan operasi, manakala kerajaan digesa berdiri di atas dasar keadilan dan bukannya kepentingan politik semata-mata.
“Kepada rakyat Malaysia, teruskan menyokong, menyebar mesej dan mendesak pemimpin agar bertindak. Kepada dunia, blokade Gaza bukan hanya isu Palestin, ia adalah ujian moral terhadap kemanusiaan sejagat,” katanya.
Tambahnya, kegagalan flotilla menembusi Gaza bukanlah noktah perjuangan, sebaliknya permulaan kepada strategi baharu yang lebih mantap.
“Dengan solidariti, keberanian dan tekanan berterusan di laut, di darat, di mahkamah dan di kota Gaza pasti akan bebas,” katanya. - DETIK MALAYSIA