KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan sisa pembinaan dan perobohan dari Singapura dibawa masuk sebelum dilupuskan secara haram di beberapa lokasi di Pontian, Johor.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, keputusan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) menghentikan penghantaran berkenaan serta-merta merupakan langkah wajar, namun ia tidak seharusnya menutup persoalan mengenai kemungkinan kelemahan penguatkuasaan, pemalsuan pengisytiharan, kecuaian atau unsur perlindungan oleh pihak tertentu di Malaysia.
“Dilaporkan sembilan syarikat berdaftar di Malaysia sedang disiasat, manakala beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Terdapat juga dakwaan muatan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘sisa pertanian’ ketika memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, persoalan yang timbul ialah bagaimana puluhan treler boleh melepasi pintu sempadan dan menjalankan kegiatan berkenaan secara berulang, malah didakwa hampir dua tahun, tanpa dikesan atau dihentikan lebih awal.
Sehubungan itu, MCW mendesak satu siasatan bersepadu melibatkan SWCorp, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis, pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Siasatan mesti meneliti keseluruhan rantaian kegiatan, termasuk syarikat pengangkutan, pengimport, pemilik tanah, broker, dokumen kastam, permit, lesen, pembayaran serta pegawai yang meluluskan atau memeriksa kemasukan tersebut,” katanya.
Jais berkata, dakwaan pembayaran sehingga RM15,000 kepada pemilik tanah dan orang tengah juga perlu disiasat secara telus.
“Jangan hanya mendakwa pemandu lori atau pemilik tanah, sedangkan dalang serta pihak yang meraih keuntungan lebih besar terlepas.
“Jenayah alam sekitar boleh menjadi jenayah rasuah apabila kegiatan haram dibolehkan melalui wang, pengaruh, perlindungan atau sikap menutup mata,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia bukan ‘tong sampah’ kepada mana-mana negara dan semua pihak yang terbukti terlibat, termasuk pegawai awam, mesti didakwa tanpa pilih kasih. – DETIK MALAYSIA
