KUCHING – Kuching City FC menjelaskan bahawa Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos (Stadium Larkin), Johor Bahru, hanya disenaraikan sebagai venue alternatif bagi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL Two) 2026/27.
Kelab itu dalam kenyataan rasmi hari ini menegaskan penyediaan Stadium Larkin sebagai venue alternatif tidak bermaksud mereka akan meninggalkan Kuching atau memindahkan aksi gelanggang sendiri ke Johor.
Sebaliknya, Stadium Larkin dikenal pasti sebagai venue kontingensi sekiranya Stadium Taha Ariffin gagal mendapat kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengikut tempoh ditetapkan.
“Penyediaan Stadium Larkin sebagai venue alternatif tidak bermaksud Kuching City FC telah meninggalkan Kuching atau akan berpusat di Johor sepanjang kempen ACL Two,” kata kenyataan itu.
Menurut kelab berkenaan, kerja-kerja naik taraf Stadium Taha Ariffin sedang dijalankan bagi memenuhi keperluan serta peraturan ditetapkan AFC.
Kuching City FC berkata segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan stadium berkenaan siap mengikut tempoh ditetapkan, sebelum pemeriksaan AFC dan keputusan berkaitan dibuat selepas kerja naik taraf selesai.
Kelab Sarawak itu turut menegaskan hasrat untuk melangsungkan kempen bersejarah di pentas Asia di hadapan penyokong sendiri di Kuching.
Kuching City FC menyifatkan penyediaan venue alternatif sebagai langkah profesional dan bertanggungjawab bagi memastikan komitmen mereka dalam saingan ACL Two dapat dipenuhi tanpa sebarang gangguan.
Aksi pertama di laman sendiri dalam kempen ACL Two dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober 2026 dan kelab berkenaan yakin Stadium Taha Ariffin mampu menjadi venue perlawanan tersebut.
Sehubungan itu, Kuching City FC meminta penyokong supaya kekal tenang dan terus memberikan sokongan sementara proses naik taraf stadium serta kelulusan AFC sedang berlangsung.
Kelab itu menegaskan keutamaan mereka kekal untuk membawa aksi ACL Two ke Stadium Taha Ariffin supaya penyokong di Sarawak dapat menyaksikan sendiri sejarah baharu kelab itu di pentas Asia.
Stadium Larkin pula hanya menjadi pelan sandaran bagi memastikan Kuching City FC bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang penampilan sulung mereka dalam pertandingan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC
