Menara komunikasi terbakar, liputan telekomunikasi terjejas di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Gangguan perkhidmatan telekomunikasi dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar, Perak susulan kejadian kebakaran melibatkan sebuah menara komunikasi di Kampung Kelebor, petang semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran tersebut membabitkan menara komunikasi milik Maxis yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis, kira-kira pukul 6.50 petang.

Menurut MCMC, insiden itu menyebabkan liputan perkhidmatan telekomunikasi terjejas, khususnya melibatkan pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile di kawasan sekitar menara berkenaan.

"Antara kawasan yang terkesan ialah Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.

“Liputan perkhidmatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang terletak berhampiran lokasi kejadian turut terjejas,” katanya.

Tambahnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku.

Sebagai langkah kecemasan, MCMC turut mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (arah utara), Lebuhraya Utara-Selatan bagi memastikan pengguna lebuh raya masih mempunyai akses komunikasi.

Selain itu, pemilik menara dan penyedia perkhidmatan diarahkan memperketatkan aspek penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara komunikasi bagi menjamin kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna. - DETIK MALAYSIA


Foto kredit- IHSAN MCMC