Nanta Linggi komited galas tugas baharu terajui KUSKOP

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan memberi beliau tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa 3 Disember 2025.

Beliau berkata, pelantikan itu akan digalas dengan penuh komitmen selain memastikan segala fungsi KUSKOP berjalan lancar sepanjang tempoh beliau menjalankan tugas.

“Saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan memberikan saya tanggungjawab ini. Di samping menjalankan tugas sebagai Menteri Kerja Raya, pelantikan ini akan saya galas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi KUSKOP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Nanta turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui kementerian berkenaan.

“Saya menghargai segala sumbangan YB Datuk Ewon Benedick sepanjang beliau menerajui KUSKOP. Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS, koperasi dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama erat dengan semua agensi di bawah kementerian, rakan industri serta pemegang taruh bagi memastikan pentadbiran KUSKOP terus lancar dan berkesan.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh saya menjalankan tugas ini,” katanya. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - Facebook Alexander Nanta Linggi