KUALA LUMPUR – Pertahanan Harimau Malaya, Stuart Wilkin mengakui pertembungan menentang Singapura pada aksi penutup FIFA ASEAN Cup 2026 bakal menjadi perlawanan penuh gengsi dengan kedua-dua pasukan saling menghormati kemampuan masing-masing.
Wilkin berkata, biarpun perlawanan itu sarat dengan persaingan antara dua negara jiran, pemain Malaysia tetap menyedari kualiti dimiliki skuad Singapura.
“Ini adalah satu perlawanan besar. Causeway Derby sentiasa menjadi persaingan besar antara kedua-dua negara, tetapi saya fikir terdapat rasa saling menghormati kerana kedua-dua pasukan mempunyai pemain berkualiti.
“Kedua-dua pasukan juga yakin secara senyap bahawa mereka mampu memenangi perlawanan ini. Jadi, ia akan menjadi aksi yang menarik untuk kami, barisan staf dan penyokong,” katanya.
Menurut Wilkin, jadual padat kejohanan turut menguji tahap kecergasan pemain selepas hanya mempunyai tempoh beberapa hari untuk melakukan pemulihan.
“Pasukan berada dalam keadaan baik. Dalam kejohanan ini, perlawanan datang dengan begitu pantas dan hanya beberapa hari untuk pulih, tetapi semua pemain nampaknya berada dalam keadaan baik dan tidak sabar untuk beraksi,” katanya.
Mengulas persiapan pasukan, Wilkin berkata, perjalanan dari Jakarta ke Bandung dalam tempoh singkat turut menjadi cabaran buat Harimau Malaya.
“Tidak mudah untuk datang ke sini dengan tempoh masa yang singkat. Saya fikir semua pemain yang sudah beraksi memberi fokus sepenuhnya kepada pemulihan.
“Pemain yang belum banyak bermain pula terus mengekalkan kecergasan kerana kami akan memerlukan semua pemain dalam skuad untuk perlawanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wilkin turut memberi perhatian terhadap ancaman jentera serangan Singapura dengan menyenaraikan Ilhan dan Shahrour Anwar sebagai pemain yang perlu diberi kawalan.
“Anda sentiasa melihat kepada pemain menyerang. Kami tahu Ilhan mempunyai kualiti, begitu juga Shahrour Anwar, jadi kami perlu memberi perhatian kepada mereka,” katanya.
Wilkin turut mengakui Singapura mempunyai barisan pemain berkualiti termasuk beberapa pemain naturalisasi yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.
“Sebagai satu pasukan, kami tahu Singapura mempunyai pemain berkualiti dan beberapa pemain naturalisasi. Saya sudah biasa dengan Safwan dan Harris ketika mereka beraksi dalam Liga Malaysia, jadi kami perlu berhati-hati.
“Ya, ia akan menjadi satu pertarungan yang baik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
