KUALA LUMPUR – Isu utama yang perlu diberi perhatian dalam kes rogol membabitkan pelajar sekolah menengah di Melaka bukanlah sama ada pelaku akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tidak, sebaliknya keselamatan murid perlu menjadi keutamaan mutlak Kementerian Pendidikan (KPM).
Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, jenayah seperti rogol bergilir, merakam dan menyebarkan perbuatan terkutuk di kawasan sekolah adalah sesuatu yang amat luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Jika saya masih mempunyai anak perempuan di sekolah, saya sendiri akan risau, takut dan bimbang dengan apa yang berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Maszlee berkata, insiden itu menambah keresahan ibu bapa selepas pelbagai kes yang berlaku sebelum ini termasuk kematian pelajar tahfiz, kes buli di asrama, gambar bogel palsu buatan kecerdasan buatan (AI) dan pengetua mencabul murid di sekolah Cina.
“Rakyat kini trauma, risau dan gundah gulana. Mereka mahu keyakinan terhadap keselamatan serta kualiti pendidikan di sekolah dipulihkan segera,” ujarnya.
Beliau berkata, KPM perlu menunjukkan ketegasan dan kepimpinan dengan mengambil langkah drastik bagi memastikan sekolah benar-benar selamat untuk semua murid.
“Rakyat mahu mendengar kenyataan seperti ini, SPM murid yang terlibat bukan isu utama. Isu keselamatan murid adalah keutamaan KPM dan kementerian tidak akan bertoleransi dengan sebarang perlakuan jenayah di sekolah.
"Sementara menunggu siasatan polis, pihak sekolah harus menggunakan kuasa yang ada untuk membuang pelajar terbabit sebagai mesej jelas bahawa sekolah ialah tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Dr Maszlee Malik