KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang membunuh 11 anggota satu keluarga Palestin dalam serangan udara di Bandar Gaza, sekali gus mencatatkan pelanggaran paling berdarah terhadap gencatan senjata yang baru berkuat kuasa selama lapan hari bersama Hamas.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan ke atas kenderaan awam itu membuktikan Israel tidak pernah jujur atau boleh dipercayai dalam sebarang rundingan damai, perjanjian atau gencatan senjata.
“Pelanggaran berulang terhadap gencatan senjata membuktikan Israel langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa mahupun nilai kemanusiaan. Ini bukan kesilapan taktikal, tetapi serangan yang disengajakan bagi meneruskan dasar penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Azmi, kegagalan kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman rejim Zionis telah memberi lesen kepada Israel untuk terus melakukan jenayah perang tanpa sebarang hukuman.
Justeru, Mapim menuntut supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera memulakan prosiding jenayah perang terhadap kepimpinan Israel atas pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Mapim turut mendesak agar negara-negara Islam bertindak tegas memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel sehingga keadilan ditegakkan dan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
"Mapim juga menggesa Kerajaan Malaysia mengemukakan isu pelanggaran ini ke Perhimpunan Agung PBB serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menuntut tindakan konkrit dan mewujudkan mekanisme perlindungan yang berkesan terhadap penduduk Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Tambahnya, Mapim turut akan menyerahkan laporan khas kepada rakan kemanusiaan antarabangsa bagi mendokumentasikan pembunuhan itu dan mengatur bantuan segera kepada keluarga mangsa di Gaza.
“Kekejaman Israel mesti dihentikan. Setiap gencatan yang dikhianati adalah bukti bahawa tiada keamanan tanpa keadilan,” katanya. - DETIK MALAYSIA