KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan pelantikan dan pemilihan Datuk Bandar beragama Islam di dua kota global terkemuka dunia, iaitu New York dan London, sebagai satu perkembangan yang sarat dengan mesej mendalam dari segi politik dan sosial.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu bukan sekadar kejayaan simbolik terhadap representasi umat Islam, tetapi tanda perubahan sosial global yang semakin ketara.
“Fenomena ini membawa makna besar dalam konteks dunia moden, apabila masyarakat Barat kini semakin bersedia menerima kepimpinan daripada kalangan umat Islam yang suatu ketika dahulu sering distereotaipkan dengan pandangan sempit,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurutnya, kemunculan pemimpin Islam di kota-kota besar Barat mencerminkan perubahan mendalam dalam kesedaran awam.
“Selama beberapa dekad, imej umat Islam sering dipaparkan melalui lensa ekstremisme dan ancaman. Namun, apabila masyarakat Barat memilih individu beragama Islam sebagai peneraju bandar kosmopolitan, ia mematahkan stereotaip tersebut,” katanya.
Tambah beliau, pelantikan itu memberi mesej jelas bahawa identiti keagamaan bukan halangan kepada nilai demokrasi, kepelbagaian dan tanggungjawab sivik.
Mohd Azmi berkata, apabila masyarakat yang dahulunya berprasangka terhadap umat Islam kini memberi kepercayaan kepada mereka untuk memimpin, ia menandakan kematangan demokrasi yang sebenar.
“Ini adalah mercu tanda keterangkuman pengiktirafan bahawa umat Islam merupakan sebahagian penting daripada fabrik sosial Barat dan bukan lagi dianggap sebagai orang luar,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru umat Islam di seluruh dunia agar menjadikan kejayaan itu sebagai dorongan untuk meningkatkan kualiti kepimpinan berasaskan nilai amanah (trust) dan keadilan (adl) seperti yang digariskan dalam Islam.
“Keberhasilan pemimpin Islam di luar negara wajar menjadi inspirasi kepada negara-negara Islam agar memperkukuh tadbir urus yang berintegriti dan berlandaskan prinsip keislaman,” katanya.
Mapim menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada identiti, tetapi bagaimana pemimpin Islam ini melaksanakan nilai Islam dalam dasar mereka.
“Ujian sebenar ialah sejauh mana mereka menzahirkan etika Islam dalam pentadbiran menyantuni golongan miskin, melindungi minoriti, menolak ketidakadilan serta berani menegakkan kebenaran terhadap kuasa,” katanya.
Jelasnya, kepimpinan dalam Islam bukan soal kedudukan, tetapi soal tujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan di mana sahaja berada. - DETIK MALAYSIA