KUALA LUMPUR – Seramai 12 mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas dipercayai hanyut dibawa arus dalam kejadian banjir berhampiran Jambatan Saloma, Kampung Baru, di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.19 petang sebelum mengerahkan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi kejadian sejauh 3.9 kilometer.
Jentera bomba tiba di lokasi pada 5.29 petang dan operasi terus dijalankan.
“Seramai 12 mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa hilang dipercayai dihanyutkan arus deras sungai. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilaksanakan di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Katanya, seramai 15 anggota dengan kekuatan tiga aset digunakan dalam operasi iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Setakat ini, operasi masih berjalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke masa. - DETIK MALAYSIA