NAKHON PATHOM - Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berpandangan keputusan mengejutkan yang berlaku dalam kejohanan utama mutakhir ini mencerminkan peningkatan tahap daya saing sepaktakraw Asia.
Beliau berkata, situasi itu tidak dapat dielakkan berikutan pelaburan besar dilakukan oleh setiap negara melibatkan persediaan atlet, sistem latihan serta sokongan teknikal yang semakin menyeluruh.
“Apabila semua negara bergerak secara profesional, jurang kekuatan semakin mengecil dan pertandingan menjadi lebih seimbang,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama wartawan Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian dan Kosmo.
Mengulas isu pengadilan, Abdul Halim menegaskan ASTAF komited memperkukuh penggunaan sistem video challenge bagi memastikan ketelusan keputusan, sekali gus mengurangkan kecenderungan menyalahkan pengadil apabila keputusan tidak memihak kepada mana-mana pasukan.
Menurutnya, sokongan teknologi amat penting untuk memelihara integriti serta kredibiliti sukan Sepaktakraw di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Abdul Halim menyatakan hasrat melihat lebih banyak negara baharu muncul sebagai kuasa baharu sepaktakraw, selari dengan usaha pembangunan yang digerakkan ASTAF.
Beliau turut menyambut baik perkembangan positif Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang disifatkan semakin menyerlah dari segi prestasi, tadbir urus dan perancangan jangka panjang.
AHK memuji hubungan erat antara PSM di bawah pimpinan Datuk Sumali Reduan dengan ASTAF, disokong barisan pengurusan yang lebih tersusun dan progresif, sekali gus menjadi antara faktor kebangkitan semula Sepaktakraw Malaysia di peringkat Asia.
Dari sudut teknologi, beliau memaklumkan cadangan memaparkan keputusan video challenge secara langsung di skrin besar bagi kejohanan utama seperti Sukan Asia sedang dikaji, tertakluk kepada keperluan teknikal dan peraturan semasa.
“Inisiatif ini selari dengan perkembangan teknologi berasaskan AI dan mampu meningkatkan keyakinan penyokong serta peminat,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf penggunaan sains sukan, analisis prestasi dan aplikasi AI oleh PSM yang membantu meningkatkan tahap permainan atlet, selain disokong program pembangunan bakat seperti Program Pembangunan Bakat Sepaktakraw Negara (NSTDP) oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Menurutnya, pendekatan pembangunan akar umbi sedemikian wajar dicontohi negara lain, dengan ASTAF bersedia memberikan sokongan sewajarnya.
Mengulas perkembangan sepaktakraw Singapura, Abdul Halim menegaskan komitmen berterusan ASTAF membantu negara tersebut dan bercadang memohon PSM memberi peluang pasukan Singapura menyertai Piala Khir Johari sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan itu di peringkat serantau. - DETIK MALAYSIA