SHAH ALAM – Prestasi ringgit yang muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia ketika ekonomi global tidak menentu mencerminkan pemulihan keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi dan hala tuju dasar Malaysia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pengukuhan itu berlaku ketika dunia berdepan pengetatan dasar monetari, ketegangan geopolitik dan aliran keluar modal dari pasaran membangun.
Beliau berkata, pasaran kini lebih selektif dan tidak lagi menilai negara Asia secara kolektif.
“Setiap negara kini dinilai berdasarkan disiplin fiskal, kestabilan politik, tadbir urus serta kejelasan dasar ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, prestasi positif ringgit disumbang oleh pemulihan eksport, pembaharuan subsidi, pengukuhan institusi serta dasar monetari yang seimbang.
Tambahnya, langkah pembaharuan fiskal kerajaan walaupun tidak popular telah berjaya membina kredibiliti jangka panjang negara.
“Kepercayaan pasaran bukan hadiah percuma, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara melalui disiplin dan keberanian membuat keputusan yang betul,” ujarnya.
Mapim turut mengingatkan bahawa kestabilan mata wang hanya dapat dikekalkan sekiranya dasar ekonomi kekal konsisten serta bebas daripada keputusan populis jangka pendek. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI