KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM19.5 juta kepada kerajaan bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kabinet semalam, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun berkenaan bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
“Pelaksanaan diskaun ini akan bermula pada 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, inisiatif itu terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, tetapi tidak melibatkan Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Linkedua.
Menurutnya, pemilihan tarikh tersebut dibuat bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan utama, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA).
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan, termasuk memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk cadangan waktu perjalanan.
Pengguna juga diminta mematuhi papan tanda, had laju dan maklumat pada Variable Message System (VMS), selain berhati-hati ketika menggunakan lorong Smart Lane.
Sebarang maklumat trafik semasa boleh disemak melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X, TikTok atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI