BANGKOK – Petarung muay thai negara, Rifdean Masdor mempamerkan aksi matang dan cukup meyakinkan apabila menewaskan Petkiattisak dalam pertarungan divisyen atomweight pada ONE Friday Fights 153 di Stadium Tinju Lumpinee, malam ini.
Rifdean yang semakin meningkat naik dalam arena muay thai antarabangsa mengawal pertarungan tiga pusingan itu dengan penuh disiplin selain bijak mengatur taktikal dan melakukan serangan balas tajam sepanjang aksi berlangsung.
Walaupun tidak terlalu agresif pada awal pertarungan, pendekatan tenang dipamerkan petarung negara itu nyata berkesan apabila dia lebih banyak membaca pergerakan lawan sebelum melancarkan serangan tepat.
Sejak pusingan pertama, Rifdean berjaya mengawal jarak dan tempo pertarungan menerusi gerakan kaki yang kemas serta kombinasi pukulan tepat sehingga menyukarkan lawannya dari Laos untuk mendapatkan rentak.
Memasuki pusingan kedua dan ketiga, dominasi Rifdean semakin jelas apabila beberapa pukulan padu singgah tepat ke wajah Petkiattisak sehingga menyebabkan kecederaan dan luka pada muka lawannya itu.
Bagaimanapun, petarung Laos tersebut tetap wajar diberikan pujian apabila terus bertahan dan melawan sehingga loceng penamat meskipun mengalami kecederaan pada wajah.
Ketenangan Rifdean ketika berdepan tekanan selain kebijaksanaannya membaca aliran pertarungan menjadi faktor utama kemenangan tersebut.
Prestasi memberangsangkan itu sekali gus mengukuhkan reputasi Rifdean sebagai antara bakat muay thai muda negara yang berpotensi mencipta impak lebih besar di pentas antarabangsa selain terus memburu kontrak bersama ONE Championship. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE