BURIRAM – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan cukup cemerlang apabila menjuarai Perlumbaan 1 kategori ASB1000 pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hari ini.
Mewakili JDT Racing Team bersama jentera Ducati Panigale V4R, bekas pelumba MotoGP negara itu menampilkan aksi penuh bertenaga untuk menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan kemenangan bergaya.
Bermula dari petak kelima, Hafizh berdepan cabaran awal apabila perlu menjalani hukuman long-lap penalty susulan insiden pada Perlumbaan 2 pusingan pertama di Sepang bulan lalu.
Situasi itu menyaksikan beliau tercicir ke kelompok pertengahan dan berada di kedudukan kelima pada peringkat awal perlumbaan. Namun, sebaik selesai menjalani penalti, Hafizh mula mempamerkan rentak agresif untuk memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan.
Pada pusingan kelapan, pelumba berusia 31 tahun itu berjaya merampas kedudukan pendahulu sebelum terus meninggalkan pencabar lain.
Hafizh kemudian mengawal perlumbaan dengan cukup baik sehingga melepasi garisan penamat menerusi catatan masa 24 minit 06.445 saat.
Sebagai bukti penguasaan di Buriram, Hafizh turut mencatat masa terpantas perlumbaan iaitu 1:35.715s.
Seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar turut menyerlah apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua bersama Idemitsu Honda Racing Malaysia dengan ketinggalan 2.626 saat di belakang Hafizh.
Pelumba Jepun, Keito Abe melengkapkan podium di tempat ketiga buat pasukan SDG HARC-PRO Honda Philippines.
Turut mencuri perhatian ialah Muhammad Zaqhwan Zaidi yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, manakala pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar melengkapkan kelompok lima terbaik.
Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi reputasi Hafizh sebagai antara pelumba superbike terbaik Asia, selain memberi keyakinan tinggi buatnya untuk terus memburu kejuaraan ASB1000 musim ini. – DETIK MALAYSIA
Keputusan Top 10 ASB1000 Race 1:
- Hafizh Syahrin Abdullah – 24:06.445
- Azroy Hakeem Anuar +2.626
- Keito Abe +2.876
- Muhammad Zaqhwan Zaidi +3.278
- Andi Farid Izdihar +3.369
- Nakarin Atiratphuvapat +6.863
- Lachlan Epis +10.373
- Rocco Sessler +13.211
- Mohammad Adenanta Putra +18.548
- Olly Simpson +23.891
Kredit foto – ARRC