KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/26 di antara Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC pada 23 Mei ini bakal dikendalikan pengadil luar negara bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi.
Presiden Malaysian Football League, Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Football Association of Malaysia (FAM) untuk melantik empat pegawai perlawanan antarabangsa bagi aksi final edisi ke-99 itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurut beliau, empat pegawai tersebut membabitkan seorang pengadil utama, dua penolong pengadil dan seorang pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Keputusan menggunakan pengadil antarabangsa dibuat bagi memastikan kualiti pengadilan kekal pada tahap terbaik selain menjamin integriti serta kelancaran aksi final Piala Malaysia.
“Perlawanan akhir ini berprofil tinggi dan standard pengadilan bertaraf dunia pastinya memberi pengalaman lebih baik kepada pemain, pegawai pasukan serta penyokong,” katanya.
Ab Ghani berkata, kehadiran pengadil luar turut membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman kepada pengadil tempatan dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan bola sepak negara.
Katanya, cadangan penggunaan pengadil import itu dibincangkan dalam Mesyuarat Rakan Liga MFL pada 29 April lalu sebagai sebahagian usaha penambahbaikan saingan domestik.
Dalam pada itu, beliau mengakui penggunaan pengadil antarabangsa melibatkan kos tinggi dan perlu diteliti secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
Untuk rekod, bola sepak tempatan pernah menggunakan khidmat pengadil Jepun pada final Piala FA 2019 membabitkan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL