TENOM – Kawasan Tenom terus muncul sebagai pusat tumpuan tanaman koko utama negara apabila mencatatkan pengeluaran sebanyak 55 tan metrik, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan hasil koko Sabah dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, angka itu sekali gus menjadikan daerah tersebut sebagai penyumbang terbesar kepada pengeluaran biji koko negara.
“Dalam tempoh sama, Sabah menghasilkan kira-kira 118 tan metrik koko, iaitu 73 peratus daripada jumlah keseluruhan negara sebanyak 161 tan metrik. Ini membuktikan bahawa Tenom merupakan kawasan penting dalam industri koko tempatan,” katanya ketika merasmikan Kursus Pasca Tuai dan Penggredan Biji Koko Kering Zon Kemabong di Dataran Kemabong, di sini, pada Selasa.
Menurut Chan, permintaan terhadap koko tempatan semakin meningkat seiring harga pasaran yang melonjak sehingga 141 peratus kepada RM24,274 bagi satu tan metrik pada 2024 berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kerajaan melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Pemulihan Kebun Koko (2024-2026) membabitkan 2,084 petani di Sabah dengan keluasan 1,344 hektar dan peruntukan RM5 juta.
“Petani terlibat menerima insentif bernilai RM3,500 hingga RM4,000 sehektar berupa input dan peralatan pertanian. Di Zon Kemabong sahaja, seramai 118 peneroka dengan keluasan tanaman 103 hektar menerima manfaat tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, peserta kursus turut menerima baja, racun serangga, racun kulat serta 10 anak benih koko setiap seorang di bawah program galakan tanaman koko.
Chan berkata, kerajaan turut memperkenalkan Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan dengan peruntukan RM550,000 setahun sehingga 2030, yang menyasarkan tambahan 2,750 hektar kawasan tanaman koko di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
“Industri koko mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pendapatan negara. Saya berharap lebih ramai pengusaha estet mengambil peluang memperluaskan kawasan tanaman koko,” katanya.
Majlis berkenaan dianjurkan LKM sebagai sebahagian usaha berterusan membangunkan sektor huluan koko di pedalaman Sabah. - DETIK MALAYSIA